Tony Fernandes mampu ubah FAM – Bola Sepak

KUALA LUMPUR 9 Sept. –Tokoh bola sepak negara Datuk Peter Velappan menyifatkan kesediaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes untuk mempertimbangkan menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai titik tolak ke arah tranformasi positif badan induk tersebut.

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu berkata setelah pelbagai kontroversi melanda FAM, sudah tiba masanya badan induk itu diberi nafas baharu menerusi peneraju yang bukan dari kalangan kerabat diraja ataupun ahli politik.

“Kita nak tutup bab kontroversi FAM dan kita perlu memulakannya semula dari bawah. Paling mustahak kita mengorak langkah baharu dengan peneraju yang bukan dalam kalangan kerabat diraja dan ahli politik.

“Saya sangat mengalu-alukan kehadiran Tony untuk menjadi Presiden FAM. Beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya menerusi syarikat penerbangan Air Asia.

“Beliau juga pemilik sebuah kelab yang berpangkalan di London, England iaitu Queens Park Rangers (QPR). Sudah tentu dia tahu selok belok bola sepak.

“Saya yakin, beliau akan membawa nafas baharu yang boleh menjadikan FAM lebih dinamik seterusnya membangunkan bola sepak negara,” kata Velappan, 80, yang juga Penolong Setiusaha FAM dari 1963 hingga 1980 ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas berhubung kenyataan Fernandes semalam, yang bersedia menerajui FAM jika badan induk bola sepak negara itu serius mahukan khidmatnya.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung perkara itu daripada tokoh perniagaan antarabangsa itu bagaimanapun mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp tidak dijawab.

FAM kini sedang dilambung ombak besar dengan kemuncaknya Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sejak November tahun lalu.

Bagaimanapun, barisan Exco FAM berjaya memujuk Tengku Abdullah agar menangguhkan hasratnya itu sehinggalah mereka membincangkan niatnya dalam mesyuarat khas yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Pada 15 Ogos lalu, FAM sekali lagi membuat keputusan untuk menolak hasrat Tengku Abdullah yang mahu meletakkan jawatan sebaliknya badan induk tersebut mempercepatkan Kongres Pemilihan pada tahun depan.

Legasi ahli politik dan kerabat diraja memegang kerusi No. 1 FAM bermula sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi presiden badan induk itu pada 1958-1974, diikuti Tun Abdul Razak Hussein (1975-1976), Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976-1983), Sultan Ahmad Shah (1984-2014) dan terkini Tengku Abdullah.

Sementara itu, Velappan yang juga pengurus pasukan dan jurulatih sewaktu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman berkata, menerusi sentuhan Tony, beliau yakin arena bola sepak negara akan kembali bersinar dan maju setanding negara-negara lain.

“Menerusi kepakaran yang beliau ada di QPR, saya yakin pasti ada program-program pembangunan diperhebatkan, menerusi kombinasi pengalaman QPR yang pernah bermain dalam Liga Perdana Inggeris,” katany

Sumber  : Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: